Ahad, 26 Ogos 2018

Herba yang terdapat dalam Kitab Tajul Muluk




Kitab Tajul Muluk...

Bilamana kita terdengar sahaja perkataan Tajul Muluk maka terus terlintas di fikiran kita bahawa ianya Kitab Melayu yang menceritakan mengenai seks dan sebagainya. Namun, tidak ramai dikalangan kita yang mempunyai salinan kitab tersebut dan tahu membacanya. Ini kerana tulisan yang digunakan adalah tulisan jawi yang kadangkala tidak mengikut standard pada masa kini. Ditambah pula bahasa melayu kuno berbaur Arab, Hindustan dan Parsi. Maka tidak hairanlah pemuda pemudi di zaman sekarang tidak mengetahui lansung tentang kewujudan kitab ini.


Gambar 1: Muka surat depan Kitab Tajul Muluk yang telah disalin. Bukan yang asal

Bagi penulis blog pula, kesusahan untuk mendapatkan teks asli atau teks asal menyebabkan usaha-usaha untuk mentafsir kitab tersebut tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Memang agak kecewa, kerana kitab ini merupakan khazanah bangsa Melayu. Bayangkan, pada zaman dahulu bangsa ini telah mengetahui banyak pengetahuan perubatan tradisional hasil daripada interaksi dengan dunia luar terutamanya dengan tamadun Islam.


Gambar 2: Cendekiawan Islam

Dalam tulisan resepi-resepi herba yang terdapat dalam kitab tersebut, Penulis kitab ada menyatakan nama-nama guru mereka yang mana jika ditelusuri semula melalui carian sejarah kita akan dapati bahawa bangsa ini merupakan bangsa yang sudahpun mempunyai tamadun agung. Daya fikiran dan intelektual mereka dan kerajinan untuk mempelajari serta semangat rasa ingin tahu sudah lama bertapak di minda golongan cerdik pandai mereka.

Sekiranya kita di Malaysia, apabila kita memberitahu bahawa kita mahu menggunakan rawatan alternatif maka terus terbayang dibenak fikiran kita muka seorang bomoh, seorang lelaki tua yang terkumat kamit membaca mentera khurafat dan banyak lagi bayangan pelik-pelik. Jelas sekali, terlalu banyak kekeliruan antara pengetahuan sebenar masyarakat sekarang mengenai rawatan tradisional Melayu. Pihak - pihak media massa pula banyak tersilap dalam menginterpretasi keadaan sebenar pada zaman dahulu terutamanya dalam menceritakan mengenai cara mereka berubat.

Gambar 3: Bomoh

Sekiranya kita membaca Kitab Sejarah Melayu, kita akan dapati banyak herba yang disebut digunakan untuk mengubati penyakit. terdapat kisah dimana seorang pahlawan Melayu bernama Seri Udani yang terkena tombak Portugis dan cedera parah semasa serangan keatas Melaka. Sultan Ahmad menyerahkan tugas kepada tabib untuk mengubati pahlawan tersebut. Diceritakan bahawa tabib tersebut menggunakan tiga ekor sireh dan dapat mengubati pahlawan tersebut yang mengalami luka besar dan ditulis 'jika sekerat beras lagi dalam luka tersebut maka matilah Seri Udani'.

Gambar 4: Gambaran ketika pahlawan Melayu diserang oleh Melaka. Namun bagi penulis, kita masih lagi dalam kekeliruan dalam menggambarkan keadaan sebenar semasa perkara tersebut berlaku. Dikhabarkan dalam penemuan terbaru bahawa tentera Melaka sudahpun menggunakan senapang semasa penaklukan Melaka dilakukan. Perkara ini dicatat sendiri oleh pihak Portugis.

Jadi, dengan penulisan blog ini dapatlah kiranya akan bermanfaat kepada pembaca - pembaca untuk mereka membezakan peranan bomoh, pawang atau tabib dalam masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Ini kerana jelas sekali pada zaman dahulu masyarakat Melayu menggunakan sumber herba sebagai bahan untuk mengubati bukanlah semata-mata menggunakan jampi serapah yang bersifat khurafat yang kita fahami pada masa kini.

Pada pendapat penulis juga, aliran yang mula-mula digunakan adalah dengan penggunaan herba sebagai penyembuh penyakit. Setelah datangnya agama Hindu, penggunaan mantra-mantra diperkenalkan. Ditambah kemudiannya dengan tamadun Islam yang turut sama memperkenalkan herba-herba baru kepada masyarakat Melayu.


Gambar 5: Contoh mantra hindu


Walaubagaimanapun, perlulah diberi penegasan disini bahawa segala resepi didalam penafsiran Kitab ini tidak dibuktikan secara saintifik. Maka, pembaca tidak boleh sewenangnya menggunakan resepi ini untuk membuat sebarang penyediaan ubatan ataupun supplemen. Segala yang ditulis ini adalah untuk tujuan pembacaan semata-mata dan bukanlah untuk dipraktikkan tanpa pengawasan daripada pakar yang sewajarnya.

Sedutan dari Buku Herba Daripada Kitab Tajul Muluk

Kata Pengantar

Semasa menghadiri kursus pemiawaian herba pada bulan Ogos tahun 2017 bersama-sama pengusaha herba saya telah menimba banyak pengalaman dan tunjuk ajar daripada pengusaha herba sendiri. Mereka menunjukkan minat yang begitu mendalam mengenai penyediaan herba secara tradisional. Bahkan, mereka lebih suka menyediakan herba mengikut cara lama yang dianggap lebih efektif. Selain itu, hasil perbincangan dengan pengusaha herba menunjukkan mereka amat berminat untuk mengetahui bagaimana sejarah perkembangan dunia perubatan menggunakan herba pada suatu ketika dahulu. Ketahuilah, bahawa ilmu perubatan Melayu adalah hasil pembelajaran mereka dari cendekiawan Islam dari abad lampau. Disamping itu, banyak antara mereka yang bertanya mengenai isi kandungan Kitab Tajul Muluk yang menjadi rujukan sepanjang zaman di Alam Melayu.

Sememangnya Kitab Tajul Muluk sudah tidak asing lagi dalam kalangan orang-orang Melayu ataupun rumpun Melayu. Di Acheh, kitab ini juga menjadi rujukan utama untuk perubatan bahkan dalam semua aspek. Bahkan, saya sendiri pernah berbicara ilmiah dengan pelajar Master daripada Sulawesi, Indonesia mengenai kitab ini. Ternyata di Alam Melayu kitab ini amat dikenali. Walaubagaimanapun, disebabkan pemodenan dalam bahasa persuratan dan pertukaran sedikit demi sedikit dalam pertuturan seharian menyebabkan generasi kini sudah tidak lagi memahami bahasa kuno yang digunakan dalam Kitab Tajul Muluk. Tulisan jawinya yang amat lama dan kuno menyebabkan kesukaran untuk memahami kitab ini. Selain itu, salinan yang masih ada mempunyai tulisan yang pecah, titik – titik untuk huruf jawinya juga sudah tidak teratur dan kadang-kadang terdapat huruf yang hilang menambahkan lagi kesukaran untuk membacanya apatah lagi untuk memahami.

Sungguhpun begitu, satu usaha telah dilakukan dengan menghubungi Syarikat Penerbitan Al-Muarif untuk meminta mereka membekalkan salinan yang paling awal Kitab Tajul Muluk. Malangnya, salinan tersebut telahpun dimusnahkan lantaran terdapat unsur-unsur magis, khurafat dan boleh mengelirukan masyarakat yang terdapat dalam kitab ini. Tidak dinafikan sama sekali sememangnya kitab ini juga terpalit unsur-unsur yang haram disisi agama Islam. Namun, bukan semuanya tidak boleh diambil. Contoh yang terbaik adalah ilmu-ilmu pembuatan ramuan herba yang terdapat dalam kitab tersebut. Sebagaimana kata-kata Tabi’in iaitu  “Hikmah itu adalah barang tinggalan milik orang mukmin, siapa sahaja yang menemuinya, maka dialah yang lebih berhak keatasnya.” Kata-kata ini bermaksud Ilmu itu ibarat barang tinggalan ummat Islam yang tercicir…. Dimana sahaja kamu menjumpainya… maka kamu ambillah.., kamu kutiplah.. dan kamu galilah ia…!!


Berbekalkan salinan kitab yang masih ada, saya sampaikan dalam bentuk terjemahan kedalam tulisan rumi. Segala ramuan yang diberitahu, saya olahkan dan tambah dengan pengetahuan saintifik yang telah diusahakan oleh saintis-saintis sebelum ini. Sudah tentulah dengan berbekalkan tinggalan kitab yang tidak sempurna akan menghasilkan karya yang kurang berkualiti, namun diharapkan pada masa akan datang akan ada lagi usaha-usaha untuk menambahbaik dan memperkembangkan lagi ilmu-ilmu yang saya sambungkan daripada penulis kitab. Wallahua’lam.

Permulaan

Herba merupakan pokok-pokok yang memberikan kesan kesihatan kepada pemakainya. Definisi sebenar herba adalah pokok renek yang kebiasaannya tidak berkayu, hidup memanjat dan digunakan untuk membuat ubat pada masa dahulu. Walaubagaimanapun, dalam kehidupan di zaman moden ini herba kian dilupakan. Malah, generasi muda tidak lagi mengenali nama pokok yang ada di sekeliling mereka. Kemajuan teknologi dalam bidang perubatan yang dicapai oleh manusia menyebabkan pergantungan kepada herba tidak lagi seperti zaman dahulu.

Kajian-kajian dalam bidang perubatan yang mendalam terutamanya dalam bidang kimia ubatan dan farmakologi menyebabkan wujudnya ubat-ubat sintetik baru yang lebih mujarab. Bidang kimia ubatan membolehkan saintis boleh memilih dan menentukan sebatian aktif. Selanjutnya sebatian aktif tersebut akan dihasilkan dalam bentuk sintetik. Kajian ubatan yang lebih menyeluruh seperti  farmakokinetik dan farmakodimanik membolehkan saintis melihat perjalanan sebatian aktif daripada ubat didalam badan manusia. Mereka juga dapat menentukan bagaimama pelekapan sebatian aktif tersebut pada tapak aktif enzim-enzim yang terdapat dalam badan. Ini membolehkan saintis melakukan pengiraan berapakan kepekatan ubat yang akan memberikan kesan kepada badan manusia.

Di tambah dengan kemajuan teknologi dalam bidang kajian toksikologi, saintis dapat mengkaji kesan toksik ubatan yang baru dicipta. Setiap hari, terdapat beratus-ratus ribu sebatian aktif baru dijumpai dan dikaji dari segi efikasi dan keracunannya. Ini membolehkan kajian terhadap ubatan-ubatan baru untuk menyembuhkan penyakit dapat dilakukan.

Walaupun teknologi kini mampu melakukan pengiraan yang sangat tepat. Kerja-kerja pencarian sebatian aktif masih lagi memerlukan pengetahuan herba. Ini kerana struktur sebatian aktif yang dicari boleh diinspirasi daripada sebatian aktif dari herba. Herba-herba yang pernah dilaporkan efektif dan berkesan mengubati penyakit boleh dikaji sebatian aktifnya untuk mendapatkan bahan aktif yang berpotensi. Sebatian aktif ini akan diubah-ubah kumpulan berfungsi pada strukturnya untuk mendapatkan ubat yang benar-benar berkesan.

Justeru, penulisan lama mengenai herba-herba juga amat penting untuk dirujuk kembali. Resepi-resepi herba yang mana ilmuwan lama telah laporkan kemungkinan besar mempunyai sebatian aktif yang mempunyai potensi  untuk merawati penyakit. Didalam penulisan ini, Kitab Tajul Muluk dipilih kerana Kitab ini mendapat tempat yang istimewa di kalangan Orang Melayu pada zaman dahulu. Namun, Kitab Tajul Muluk  terkenal bukanlah kerana ilmu perubatan yang terdapat didalamnya. 

Walhal terdapat 53 jenis penyakit dan lebih 100 resepi herba untuk mengubati penyakit telah dituliskan didalam kitab tersebut. 

Dengan penulisan ini, herba-herba yang pernah digunakan suatu ketika dahulu dapat diperkenalkan semula untuk dikaji dan sekiranya berpotensi herba-herba ini boleh dikomersilkan. Kajian yang menyeluruh ditambah dengan inovasi membolehkan produk makanan kesihatan boleh dibangunkan berdasarkan resepi-resepi yang telah ditulis oleh ilmuwan lama.  

Asal – Usul Kitab Tajul Muluk Mengikut Pendapat Penulis

Kitab Tajul muluk merupakan kitab lama yang mengandungi pelbagai cabang ilmu. Terdapat pelbagai jenis bidang ilmu yang direkodkan untuk kegunaan harian seperti membina rumah, berkebun dan untuk mengubati penyakit. Risalah yang paling terbaru adalah diterjemah pada sekitar awal abad ke 19.  Terdapat ayat dibelakangnya ditulis seperti berikut:




‘’telah selesai daripada menterjemahkan risalah ini oleh Fakir Tuan Haji Wan Hasan Ibni Syeikh Tuan Ishak Fathoni pada hari jumaat pada waktu dhuha enam likur haribulan Muharram pada hijrah nabi seribu dua ratus empat puluh sembilan (1249) tahun didalam negeri Mekah’’. 

Jadi, salinan terjemahan yang paling akhir yang didapati adalah berumur 190 tahun iaitu ia siap diterjemah pada 25 Mei 1833. Dipercayai ia adalah kitab yang disalin daripada kitab-kitab yang lain. Ini kerana terdapat pelbagai jenis ilmu lama yang tidak mungkin dapat dikuasai oleh seorang sahaja. Ia berkemungkinan berasal daripada salinan kitab-kitab yang lain kemudian dicantumkan membentuk sebuah kitab.

Jika diselidiki dari segi nama penterjemah kitab ini iaitu Tuan Haji Wan Hassan ibni Syeikh Ishak Fathoni tentunya kita akan terkejut kerana beliau bukanlah individu yang asing dikalangan Ulamak Nusantara. Beliau adalah adik lelaki kepada Shaykh Wan 'Ali bin Wan Ishaq. Tuan Haji Wan Hassan berasal dari Kampung Pauh Bok, Patani. Beliau belajar di Kampung Pauh Bok, tetapi melarikan diri semasa serangan Siam pada tahun 1831. Dia menetap di Besut, tetapi kemudian pergi ke Mekah bersama abangnya pada tahun 1832. Setelah itu, beliau kembali ke tanah Melayu dan pertama kali menetap di Kelantan, tetapi tidak lama selepas itu beliau berpindah ke Terengganu dan mengajar di Besut. Di Besut, beliau menjadi imam di Masjid Raja. Beliau kemudiannya membuka pondok di Kampung Palembang di Besut. Anak-anak perempuan beliau berkahwin dengan dua orang ulama terkemuka iaitu Shaykh Nik Mat Kecik dan Shaykh Nik Mat Besar. Pada tahun 1863, beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Kampung Palembang, Besut.

Mengikut catatan sejarah beliau amat berpengaruh. Bahkan, beliau amat disegani di Daerah Besut, Terengganu. Seorang ulamak terkenal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama. Namun, kitab yang diterjemahkan ini adalah agak keterlaluan untuk diamalkan sepenuhnya.

Tentunya ada sesuatu yang beliau ingin sampaikan melalui penterjemahan kitab ini. Di Mekah, beliau telah mentelaah kitab-kitab lama dan tenggelam dengan ilmu-ilmu yang telah ditinggalkan oleh ulamak silam. Begitu banyaknya warisan sehingga tidak sempat untuk beliau sampaikan pada anak muridnya. Mungkin ada diantara ilmu –ilmu yang ditinggalkan adalah tidak sesuai untuk diterjemah tetapi ia perlu diberitahu kepada generasi akan datang mengenai kerosakan ilmu telah berlaku dalam masyarakat Islam sekitar abad 12 hingga abad ke 18. Perkara ini telah dirungutkan sendiri oleh Imam Al –Ghazali pada abad yang ke 11 lagi yang mana beliau melihat umat yang terkemudian telah meninggalkan Ilmu agama demi menuntut ilmu tinggalan tamadun Yunani. Bahkan, perkara yang merisaukan Imam Al-Ghazali adalah ramainya penuntut ilmu agama dan cendekiawan Islam telah mencampur adukkan ilmu logik dan falsafah ciptaan tamadun Yunani dengan ilmu agama. Maka, Imam Al-Ghazali telah menulis Ihya’ ulumuddin yang bermaksud menghidupkan kembali ilmu agama.

Kitab Tajul Muluk juga tidak terlepas dengan unsur-unsur mistik dan magis. Justeru itu, Kitab Tajul Muluk ini perlulah dilihat dari sisi yang cerah. Masih terdapat catatan yang berguna untuk digali terutamanya dalam bidang pengetahuan herba. Kemungkinan besar penulis asalnya telah mencedok unsur-unsur tersebut daripada pengaruh kitab-kitab Parsi dan India. Contohnya terdapat cara pengubatan yang menggunakan huruf-huruf hijaiyah (huruf tulisan arab seperti alif, ba, ta hingga ya) sebagai bahan ubatan. Mereka mempercayai dengan menulis huruf-huruf tersebut pada kain kemudian dijadikan azimat atau bungkusan akan memberikan kesan sembuhan pada pemakainya. Perkara – perkara seperti ini secara umumnya telah kita ketahui bahawa ia adalah bersifat khurafat dan haram untuk mengamalkannya.



Walaubagaimanapun, terdapat banyak mutiara ilmu didalam kitab Tajul Muluk yang masih boleh digunakan terutamanya dalam penyediaan makanan kesihatan. Apa yang menarik ialah resepi –resepi makanan kesihatan tersebut adalah campuran herba-herba yang mudah didapati. Didalam buku ini, perkara yang akan dibincangkan adalah membuat ubat panas atau ubat segala penyakit seperti diterjemah dari Bab Empat Puluh Tujuh Pada Menyatakan Peri Berbuat Ubat Panas Akan Ubat Segala Penyakit, Tajul Muluk. Penerangan secara saintifik mengenai resepi ini dan kupasan mengenai setiap herba akan dinyatakan bagi membolehkan pembaca memahami bagaimana resepi ini bertindak dan secara logiknya mampu memberikan kesan kesihatan.

Pengaruh luar dalam penyediaan ubatan herba

Sebelum kita membincangkan mengenai herba-herba yang digunakan dalam penyediaan Ubat Panas Akan Ubat Segala Penyakit, adalah sangat penting untuk kita memahami asal-usul bagaimana penterjemah kitab ini menulis resepi sesuatu ubat. Difahami bahawa, bahasa di dalam kitab ini adalah bahasa melayu kuno yang mana kadang-kadang agak janggal kita membaca dan mendengarnya. Terdapat juga bahan herba untuk dimasukkan dalam penyediaan makanan kesihatan ini tidak boleh dijumpai di negara kita. Ini berlaku kerana terdapat pengaruh luar untuk menyediakan ubatan tersebut. Pengaruh luar disini bermaksud bahan yang digunakan adalah berasal dari kawasan lain. Ini berlaku kerana penulis kitab telah mendapatkan ilmu tersebut daripada kawasan luar daripada kawasan kepulauan Melayu dan Nusantara.

 Mengikut kitab sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, orang-orang melayu Melaka amat gemar belayar di lautan. Bahkan kebanyakan perjalanan orang Melaka adalah menggunakan kapal untuk mencari ilmu, berniaga dan berdagang. Hal ini dibuktikan dalam Sejarah Melayu bab cetera yang kedua puluh delapan, Sultan Mahmud mengarahkan Hang Nadim ke benua Keling untuk membeli kain. Berikut adalah tulisan Tun Sri Lanang menggambarkan peristiwa tersebut:

Maka Hang Nadim pergilah naik kapal Hang Isap, kerana pada masa itu orang Melaka ratalah berkapal belaka. Maka belayarlah ia ke Keling”.





Berdasarkan tulisan di atas, dapat diketahui bahawa sememangnya orang Melayu telah berhubung dengan dunia luar dan menerima banyak pengaruh luar dalam kehidupan mereka sehari-hari. Hal ini termasuklah dalam pembuatan ubat-ubatan. John D. Gimlete dalam bukunya Malay Poison and Charm Cure menulis bahawa ilmu-ilmu perubatan Melayu kebanyakannya menerima pengaruh daripada Arab dan Parsi yang mana pada asalnya juga menerima pengaruh daripada Galen. Galen merupakan ahli perubatan tamadun Yunani.



Ilmu Perubatan Didalam Kitab Tajul Muluk

Didalam kitab Tajul muluk terdapat bahagian yang mana membincangkan mengenai cara-cara membuat ubat untuk mengubati penyakit. Bermula pada muka surat 35 didalam kitab Tajul muluk (terbitan Syarikat Al-Muarif), penulis kitab membincangkan mengenai ilmu – ilmu perubatan yang mana dituliskan sebanyak 53 jenis penyakit. Untuk setiap penyakit terdapat pelbagai jenis resepi herba untuk mengubatinya.

Didalam kitab tersebut, penulis kitab telah menyenaraikan jenis-jenis penyakit bermula dengan sakit kepala pada bab pertama hinggalah ke bab 53 iaitu penyakit puru. Penulis kitab telah menyenaraikan sekian banyak jenis – jenis herba yang boleh digunakan untuk mengubati penyakit.

Sekatan Definisi Ubat dan Penyediaan Ubatan Tradisional

Walaubagaimanapun definisi ubat didalam buku ini haruslah difahami mengikut garis panduan yang ditetapkan. Pada masa kini, perkataan ubat itu sendiri tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Bahkan, penggunaan perkataan ubat adalah dikawal oleh agensi kerajaan yang bertanggung jawab seperti National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA). Tujuan pengawalan ini adalah untuk mengelakkan masyarakat pengguna ditipu oleh pengusaha ubatan herba yang tidak bertanggung jawab.  Terdapat banyak kes tuntutan ubatan herba yang mempunyai kesan yang melampau contohnya ubatan herba untuk mengubati penyakit buah pinggang yang sudah rosak, mengubati penyakit kanser peringkat terakhir dan macam-macam lagi.

Bagi mengelakkan salah faham pembaca, perkataan ubat didalam buku ini adalah lebih sesuai ditukar dan cukup sekadar difahami sebagai makanan kesihatan atau ubat tradisional. Selain itu, ubatan tradisional menggunakan herba memerlukan kepakaran dalam penyediaannya. Pembaca tidak boleh sewenangnya menyediakan ubatan tersebut untuk kegunaan sendiri atau mengkomersilkan  sebelum bertanya kepada pihak berwajib. Sekurangnya, kajian keracunan (Toksikologi) perlu dijalankan keatas produk herba yang dihasilkan. Ini dapat mengelakkan pengguna terdedah kepada bahaya sebatian kimia yang terdapat dalam herba tersebut.

Untuk mengelakkan bahaya ketoksikan herba, resepi yang dipilih untuk ditulis dalam buku ini adalah resepi yang hanya menggunakan herba-herba yang digunakan dalam masakan dan biasa ditemui di sekitar kita. Herba-herba ini sudah lama digunakan dan bersifat makanan yang selalu dipakai dalam kehidupan seharian. Herba-herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, daun kaduk, legundi dan sebagainya tidak disenaraikan didalam resepi ini kerana dikhuatiri pembaca tidak mengenali secara tepat pokok herba tersebut.  

Penterjemahan Tulisan Daripada Jawi Ke Rumi

Resepi makanan kesihatan didalam kitab Tajul Muluk adalah campuran beberapa jenis herba. Terdapat resepi yang mempunyai lebih 21 jenis herba. Nama-nama herba yang ditulis dalam Kitab Tajul Muluk telah dibandingkan dengan senarai nama herba yang terdapat di Malaysia yang diusahakan oleh H.M Burkill. Walaubagaimanapun, penulisan Melayu kuno yang digunakan menyebabkan penterjemahan tulisan jawi ke rumi agak sukar untuk dilakukan. 

Antara kesukaran tersebut adalah nama-nama herba yang dieja adalah berbaur dialek kedaerahan. Contohnya buah pelaga telah dieja sebagai kepulaga.  Selain masalah dialek daerah, penulis tidak menggunakan nama yang standard untuk nama-nama herba. Contohnya pada penulisan resepi pertama penulis menamakan herba Jintan sebagai bahan untuk resepi makanan kesihatan. Namun, pada resepi kedua pula penulis menggunakan perkataan Jira. Jira adalah bahasa Benggali yang membawa maksud Jintan.

Terdapat juga kesalahan ejaan dimana terdapat huruf yang tertinggal menyebabkan sukar untuk membandingkan nama herba tersebut. Contohnya ejaan kepulaga dieja dengan kaf. Fa. Lam alif. Ga, (كفلاڬ) kesalahan berlaku dimana penyalin tertinggal meletakkan huruf Ga (ڬ). Ini menyebabkan herba tersebut bernama Kepula (كفلا). Ejaan ini mungkin juga digunakan untuk mengeja Kepala, tetapi tidak ada herba yang terdapat di dalam senarai herba yang bernama Kepala

Di samping itu, terdapat herba yang tidak di ketahui ejaannya iaitu Pa. Ja. Ba. Ra
(فجبر). Melalui ejaan ini, ia mungkin juga berbunyi Pejabar, Pejabir, atau Pajbar dan sebagainya. Walaubagaimanapun, tiada herba yang berbunyi sedemikian didalam senarai herba. Kemungkinan besar ia bukanlah herba yang biasa digunakan contohnya anbar. Anbar  (عنبر) adalah resin tumbuhan yang telah tertanam didalam tanah dalam masa yang lama.

Terdapat juga herba yang dieja lengkap dan boleh dibaca tetapi tidak tersenarai didalam senarai herba di Malaysia contohnya Buah Mempal (ممفل بوه), Kuran(كورن ) dan Kelendi (كلندي). Selain itu, ada ejaan yang boleh dibaca tetapi ia tidak tergolong sebagai tumbuhan herba contohnya Kibat Cina        (چينأ كبأت). Ejaan tersebut  mungkin juga Kebatu Cina. Ada pokok yang dipanggil Kebatu iaitu Pisang Kebatu tetapi ia bukanlah tergolong dalam pokok yang boleh memberikan kesan terapeutik.

Permasalahan Bahan-Bahan, Nama Herba Dan Sukatan Lama

Penulis kitab menyenaraikan empat jenis resepi untuk Ubat Panas akan Ubat Segala Penyakit.  Resepi pertama terdapat 21 bahan-bahan yang diperlukan. Walaubagaimanapun, bukan semua 21 bahan-bahan tersebut adalah herba. Selain itu, terdapat 2 bahan herba yang tidak diketahui apakah ejaan asalnya iaitu P.J.B.R dan akar P.A. Herba-herba yang ditulis dalam resepi pertama adalah cengkih, buah pala, kulit manis cina, bunga pala, kepulaga, lada, sunti halia, kedekai, buah Melaka, jemuju, lengkuas, jintan hitam, jintan putih, anbar, muta, kasturi, (p.j.b.r - فجبر), gaharu tenggelam, akar (p.a - اكرفأ), akar cengkaduk dan cekur.

Resepi kedua pula terdapat 13 bahan yang mana 11 daripadanya adalah bahan herba. Resepi kedua ini terdiri daripada bunga lawang, bebuas, jira putih, jemuju, kedelai, bawang putih, bawang merah, jerangau, adas manis, sunti halia, kunyit, air madu dan manisan. Resepi ini merupakan resepi yang paling lengkap dan dapat dihasilkan.

Resepi ketiga mempunyai 5 bahan-bahan yang diperlukan. Ia adalah resepi yang paling ringkas, walaubagaimanapun terdapat satu bahan yang tidak diketahui nama sebenar herba tersebut kerana ia hanya ditulis sebagai akar kayu. Bahan- bahan yang diperlukan adalah kunyit kering, daun limau kapas, air madu, minyak lenga dan daun kayu (dieja dengan huruf Kaf. Alif.Ya كأي).

Resepi terakhir iaitu resepi keempat mempunyai 16 bahan-bahan yang diperlukan. Resepi yang ke 16 adalah agak rumit untuk disediakan kerana ia terdiri daripada herba-herba yang agak sukar untuk dibaca ejaannya. Bahan yang diperlukan adalah jira hitam, sunti halia, biji jermuli, cuka, kepula, buah mempal, air madu, manisan, kibat cina, adas manis, gandum atau beras pulut, daun mambu, kuran, kelendi, akar pisang dan akar meriku. Terdapat banyak faktor mengapa herba-herba tersebut tidak dapat dibaca. Kemungkinan besar adalah herba-herba tersebut dieja dalam dialek daerah. Ia juga mungkin dieja dalam bahasa arab atau parsi yang mana penterjemah terus memasukkan sahaja nama herba tersebut tanpa menukarkannya dalam bahasa Melayu.

Selain itu, sukatan yang digunakan pula adalah sukatan lama seperti tahil, mayam, gantang, kupang dan cupak. Sukatan-sukatan seperti ini boleh dikira semula dengan menukarkannya ke dalam unit standard antarabangsa (S.I). Namun, terdapat juga permasalahan yang timbul dimana sukatan se ari (سأري) dan sebujur tangan (سبوجر تاڠن) digunakan. Sukatan-sukatan seperti ini perlu dikaji dan diukur semula untuk mendapatkan sukatan yang tepat. 

Resepi pertama



Bab Empat Puluh Tujuh Pada Menyatakan Peri Berbuat Ubat Panas Akan Ubat Segala Penyakit

Ambil bunga lawang artinya cengkih beratnya sekupang, buah pala sekupang, kulit manis cina sekupang, bunga pala sekupang, kepulaga sekupang, lada empat kupang, sunti halia lima kupang, kedekai semayam, buah Melaka sepuluh mayam, jemuju tujuh mayam dua kupang, lengkuas lima kupang, jintan hitam empat mayam sebusak, jintan putih dua ratus lapan kupang, anbar sebusak, muta lima kupang, kasturi sebusak, (p.j.b.r) sebusak, gaharu tenggelam lima kupang, akar (p.a) sekupang, akar cengkaduk lima kupang, cekur sepuluh kupang direndang maka dipipis lunak-lunak maka diserkai maka diperbuat akan makjun dimakan pagi-pagi beratnya dua amas.

Bersambung.....

Untuk resepi-resepi seterusnya, pembaca boleh lah menghubungi blogger untuk mendapatkan senaskhah buku resepi herba daripada Tajul Muluk sekiranya berminat... emel blogger: cba_6149@yahoo.com atau whatsapp: 0182744908


Penutup

Apa yang dibincangkan dalam buku ini hanyalah mengenai ramuan-ramuan herba untuk satu jenis makanan kesihatan sahaja. Bayangkan, masih terdapat 52 lagi jenis-jenis penyakit dibincangkan oleh penulis kitab. Setiap penyakit pula mempunyai tiga hingga empat pilihan ubatan. Jadi, terlalu banyak untuk dibincangkan dalam sebuah buku. Sekiranya dibincangkan didalam buku ini, dikhuatiri buku ini akan menjadi sangat tebal dan melemahkan semangat pembaca.

Diharapkan pembaca meneruskan minat dalam mengkaji ilmu-ilmu ramuan herba tinggalan ulamak silam yang mungkin akan membuka ruang yang lebih cerah bagi bidang herba. Sesungguhnya daripada penulisan kitab Tajul Muluk ini dapat kita ketahui bahawa cara pengubatan dan amalan perubatan yang diamalkan oleh orang-orang Melayu sejak dahulu kala lagi bukanlah melalui jampi serapah dan hembusan-hembusan semata-mata.  Ya! Ia melalui penggunaan herba-herba yang mempunyai dukungan sains dibelakangnya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Keperluan mengambil herba dan kegunaannya seharian

  T erdapat banyak persoalan kenapa perlunya kita mengambil herba dan supplemen. Terdapat segelintir yang tidak setuju dengan pengambilan he...